fb fb fb fb fb

PM lawat Bazar Ramadan Seksyen 2, titip pesanan kepada peniaga

Perdana Menteri meluangkan masa berkunjung ke Bazar Ramadan, Seksyen 2, Shah Alam

SHAH ALAM, 13 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa berkunjung ke Bazar Ramadan, Seksyen 2, Shah Alam menerusi program Perdana Menteri ke Negeri Selangor.

Perdana Menteri tiba kira-kira pukul 6.15 petang diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar yang berbaju Melayu berwarna biru muda meluangkan masa selama kira-kira 20 minit melawat gerai-gerai sambil beramah mesra dengan penjual serta pengunjung bazar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menasihati para peniaga di Bazar Ramadan, Seksyen 2, Shah Alam supaya mengawal harga makanan serta mematuhi proses penyediaan makanan yang ditetapkan.

Sementara itu, peniaga otak-otak Baharudin Bahman, 49, berkata ketika Perdana Menteri berkunjung ke gerainya, beliau sempat memberi nasihat supaya dia berniaga dengan berhemah.

"Dia kata meniaga dengan cara berhemat, kawal harga dan penyediaan makanan kena ikut yang disarankan", kata Baharudin.

Peniaga kuih Nooramimi Rosdi, 40, pula menyifatkan lawatan tersebut sebagai bukti keprihatinan pemimpin nombor satu negara itu terhadap situasi rakyat di peringkat akar umbi khususnya golongan peniaga. 

"Tadi memang gementar, tapi teruja sebab ini kali pertama jumpa Perdana Menteri dan saya terharu juga bila lihat dia datang dan sanggup luangkan masa sebentar untuk lihat kami di sini," kata Nooramimi.  

Perdana Menteri turut menerima juadah berbuka puasa daripada peniaga antaranya bubur hitam dan samosa.

Dalam pada itu, Anwar turut meninjau reruai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bagi menyaksikan pelaksanaan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI).

Sebanyak 6,000 insentif e-wallet RM20 diperuntukkan di Bazar Ramadan Seksyen 2, hari ini.

Kira-kira pukul 6.35 petang, Perdana Menteri meninggalkan bazar tersebut untuk ke Majlis Berbuka Puasa MADANI 2025 Perdana Menteri bersama-sama pimpinan masyarakat tempatan negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia Seksyen 7, Shah Alam.

ROSLINA BINTI DIN