IPOH, 25 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Bazar Taman Perpaduan, Ulu Kinta.
Beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung yang hadir ke bazar tersebut.
Turut hadir ke program itu, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh.
Menerusi Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI), sebanyak 141 gerai di BRR Taman Perpaduan telah mengaplikasikan pembayaran digital tanpa tunai.
Dijangka seramai 8,000 pengunjung berpeluang menerima insentif melalui ReDI iaitu RM20 seorang melalui e-dompet untuk berbelanja di bazar tersebut.
Pada program itu, Perdana Menteri turut melancarkan program 'MySaveFood' Peringkat Negeri Perak, sebagai langkah membudayakan satu sistem pengurusan lebihan makanan yang efektif di bazar ramadan.
Ia satu usaha mengurangkan pembaziran makanan sepanjang bulan yang mulia ini.
Bermula 14 hingga 24 Mac lalu, sebanyak 389.66 kilogram (kg) makanan dan 754.25 kg minuman berjaya dikumpulkan di tiga lokasi BRR iaitu di Taman Perpaduan, Taman Cempaka dan Stadium Indra Mulia.