fb fb fb fb fb

PM kesal kegiatan penyeludupan babitkan anggota kastam, negara rugi RM2 bilion

Datuk Seri Anwar berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga JPM di Putrajaya

PUTRAJAYA, 1 April- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kegiatan sindiket penyeludupan yang membabitkan beberapa anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia amat menyedihkan.

Menurutnya, lebih mengecewakan jabatan itu terletak bawah Kementerian Kewangan.

"Orang yang meremehkan isu rasuah, lupa bahawa dalam satu jabatan kecil daripada pasukan keluarga kastam itu, masih boleh sebabkan kerugian hampir RM2 bilion kepada negara.

"Bayangkan kalau ini berlaku dengan ketirisan minyak diesel, minyak masak yang diambil oleh kalangan tertentu, kalau kita boleh kumpulkan semua, kita boleh selamatkan puluhan bilion ringgit,"katanya.

Sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan itu mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata setakat ini 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE