fb fb fb fb fb

PM kecam serangan terhadap Ketua Polis Dang Wangi

Foto tular/RTM

KUALA LUMPUR, 11 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa insiden menyerang hingga mencederakan penjawat awam, iaitu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Sulizmie Affendy Sulaiman oleh pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab merupakan perbuatan keji yang wajar dikecam.

Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata beliau telah menggesa pihak berkuasa agar segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan pantas bagi memberkas dalang serta individu yang bertanggungjawab mencederakan mangsa.

"Kerajaan hormat hak untuk berhimpun secara aman dan menyatakan pendirian, dan ia dibuktikan dengan konsisten melibatkan pelbagai himpunan sebelum ini.

"Namun, prinsip kebebasan juga menuntut kita untuk bertanggungjawab dan mesti patuh tunduk pada hukum, adab dan undang-undang.

"Berhimpun secara aman mesti tidak harus disalahguna untuk kepentingan politik sempit dan mencetuskan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat,"katanya.

Tambah Datuk Seri Anwar, sebarang bentuk keganasan yang berpunca daripada hasutan, kebencian, dan penyebaran maklumat palsu tidak boleh sama sekali dibiarkan berakar umbi dalam masyarakat.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi cedera di bahagian kepala dipercayai terkena balingan batu oleh individu tidak dikenali ketika mengawal keadaan dalam operasi pemotongan bekalan elektrik beberapa rumah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.

Operasi berkenaan dijalankan susulan arahan mahkamah berhubung proses perobohan struktur rumah di kawasan itu.

ARTIKEL BERKAITAN:

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM