PM kecam serangan terhadap Iran, desak penyelesaian diplomatik

FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 28 Februari – Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, yang disifatkan berpotensi mencetuskan konflik baharu di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri mengecam serangan ketenteraan AS dan Israel terhadap Iran sebagai berpotensi mencetuskan konflik baharu di Asia Barat.
  • Serangan itu disifatkan sebagai cubaan mensabotaj rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat.
  • Desakan supaya permusuhan dihentikan serta-merta dan kedua-dua pihak memilih penyelesaian diplomatik untuk elak ketegangan berterusan.
  • Kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Iran dan Asia Barat; akan berhubung dengan rakan serantau bagi tindakan selanjutnya.

“Serangan Israel ke atas Iran, serta tindakan ketenteraan Amerika yang mengiringinya, membawa Asia Barat ke ambang malapetaka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau menegaskan bahawa tindakan itu juga dilihat sebagai sebahagian daripada percubaan untuk menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung antara Iran dan Amerika Syarikat.

“Permulaan serangan ini merupakan cubaan jahat untuk mensabotaj rundingan yang sedang berjalan dan mengheret negara-negara lain ke dalam konflik yang boleh menjadi tidak terkawal,” kata Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar konflik antara Amerika Syarikat dan Iran dihentikan serta-merta dan rundingan secara diplomatik diadakan bagi mengelakkan ketegangan berterusan.

“Penghentian segera dan tanpa syarat segala bentuk permusuhan adalah suatu keperluan mendesak. Saya menggesa Amerika Syarikat dan Iran untuk memilih jalan diplomasi dan bukan terus meningkatkan ketegangan,” ujarnya.

Perdana Menteri turut menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Malaysia di Iran dan Asia Barat, serta memaklumkan akan berhubung dengan rakan serantau untuk menentukan langkah seterusnya.

“Keutamaan saya ketika ini adalah keselamatan rakyat Malaysia di Iran dan di rantau tersebut. Saya akan berhubung dengan rakan-rakan serantau berhubung tindakan selanjutnya,” ujar beliau dalam kenyataan yang sama.