fb fb fb fb fb

PM jumpa TYT Sarawak, akhiri lawatan dua hari ke Kuching

(Perdana Menteri mengunjungi Yang di Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud)

KUCHING, 20 Januari- Yang di Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri menerima kunjungan hormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediaman peribadinya di Demak Jaya Kuching petang tadi.

Perdana Menteri yang tiba diperkarangan residen tersebut tepat pada pukul 15.11 petang diiringi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Turut hadir, Menteri Belia, Sukan dan Persembahan Seni Datuk Seri Karim Rahman Hamzah.

Pertemuan rasmi sulung antara kedua-dua pemimpin tersebut berlangsung selama setengah jam.

Ini merupakan lawatan pertama Anwar ke Sarawak sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada November lepas.

Sebelum itu, Perdana Menteri hadir ke majlis Kenduri Rakyat di Kubah Ria.

Pada majlis tersebut, Perdana Menteri berpeluang merasa sendiri juadah 'Pengilan' atau kenduri ala Sarawak selain makanan istimewa Bumi Kenyalang seperti dabai dan suntong tutok (sotong yang diketuk) dalam jamuan makan tengah hari serta aiskrim gula apong.

Turut menemani beliau, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Perdana Menteri kemudiannya berangkat pulang ke ibu negara pukul 4.38 petang.


(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (KIRI) bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang
Johari Tun Openg (KANAN)mencuba bakat membuat aiskrim gula apong  ketika
hadir pada Program Jelajah Kerajaan Perpaduan-Kenduri Rakyat di Kubah Ria / BERNAMA)

Media Baharu