KUALA LUMPUR, 25 Disember- Kerajaan akan memberi kerjasama penuh jika usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines, MH 370 membuahkan hasil.
Jaminan itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.
"Selepas lebih sedekad pesawat itu hilang daripada radar, masih banyak persoalan dan misteri belum terungkai.
Selain keluarga dan waris rakyat juga berhak dapat jawapan kepada perkara itu," kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, kerajaan perlu imbangi keperluan mencari pesawat itu, pada masa sama, pastikan dana rakyat digunakan secara berhemah.
Pesawat MH370 yang bawa 239 penumpang, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, pada 8 Mac 2014.
Jumaat lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan jemaah menteri secara prinsip menerima tawaran syarikat robotik marin, Ocean Infinity untuk teruskan operasi pencarian MH370.
Fokus pencarian tertumpu di satu lokasi baharu yang dianggar berkeluasan 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Pelaksanaannya berdasarkan prinsip, kerajaan tidak perlu keluarkan sebarang bayaran jika pesawat tersebut tidak ditemukan.