PUTRAJAYA, 6 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak membakar sentimen perkauman atau menanam bibit kebencian dalam masyarakat.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri sedar akan usaha pihak berkepentingan yang cuba menanam persepsi "double standard" dalam tindakan penguatkuasaan undang-undang.
Katanya, Perdana Menteri menegaskan sesiapa sahaja yang menghina mana-mana agama di Malaysia tetap akan disiasat dan didakwa.
“Sebagai contoh, syarikat dan pembekal stokin yang mempermainkan kalimah Allah telah didenda RM60,000. Seorang lelaki yang mempersendakan perkataan ‘Allah’ dijatuhi denda RM12,000 dan penjara enam bulan.
“Peniaga jagung bakar yang meletakkan notis perkauman pula didenda RM400, manakala Harith Iskander dan Cecelia Yap masing-masing dikenakan denda RM10,000,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia.
Tambah Tunku Nashrul, Perdana Menteri menolak tuduhan kononnya kerajaan berdiam diri apabila agama Islam dihina, sambil menegaskan bahawa semua kes berkaitan telah disiasat, didakwa, dan dihukum mengikut undang-undang sedia ada.
Perdana Menteri turut menyeru rakyat agar menghentikan budaya menghina agama, budaya, dan kaum, terutama ketika negara sedang berkembang pada trajektori ekonomi yang baik.