
PUTRAJAYA, 27 Februari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penghargaan khas terhadap keberanian dan pengorbanan tujuh pemuda yang berjaya menyelamatkan seorang ibu dan dua anaknya yang nyaris lemas di Tasik Biru, Kundang, Rawang, Selangor, pada Selasa lalu.
- PM Anwar memberi penghargaan khas dan sumbangan kepada tujuh pemuda wira Tasik Biru.
- Tindakan pantas mereka menyelamatkan seorang ibu dan dua anak daripada lemas.
- Anwar meluangkan masa mendengar pengalaman tujuh penyelamat itu semasa kejadian.
Beliau menyampaikan sumbangan kepada kumpulan pemuda itu pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama penggiat media dan pempengaruh di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.
Mereka ialah Mohd Shahrizal Jarami, 40, Mohamad Fahmi Ismail, 33, Adam Syah Reza Hendri, 19, Mohamad Zulfadhli Mohd Nasir, 23, Muhammad Aiman Hakimi Mohd Rosnizam dan Muhammad Nor Haiqal Abd Karim, masing-masing 23 tahun serta Hariz Ismat Ruzaiizan, 26.
Datuk Seri Anwar turut meluangkan masa hampir 15 minit mendengar sendiri pengalaman yang dilalui mereka semasa kejadian tersebut.
Terdahulu, seorang ibu bersama dua anak kecilnya berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam tasik berkenaan.
Bagaimanapun tindakan pantas dan keberanian tujuh pemuda itu berjaya menyelamatkan ketiga-tiga mangsa daripada lemas.