SUNGAI PETANI, 9 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri majlis resepsi Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau meluangkan masa kira-kira sejam di majlis tersebut.
Dr Mohammed Taufiq melangsungkan perkahwinan bersama pasangan pilihannya yang berasal dari Indonesia, Dr Fathiya Ainul Mardhiyah di Dewan Kenangan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).
Anak keenam dari lapan adik-beradik yang berusia 27 tahun itu merupakan anak Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Majlis resepsi itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Hussain. Tetamu kenamaan lain yang hadir, antaranya Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.
Terdahulu, pasangan itu telah diijab kabul pada Majlis Akad Nikah Rahmah sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di ibu negara pada 24 Februari lalu.