PM hadir Konvensyen Keadilan Kedah Jumaat ini

Foto Facebook Anwar Ibrahim

ALOR SETAR, 11 Februari- Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir pada Konvensyen Keadilan Kedah di Hotel Raia, Jumaat ini bagi menyampaikan amanat kepada pimpinan dan anggota parti negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada konvensyen bagi menyampaikan amanat dan menunjukkan komitmen kepimpinan tertinggi kepada Keadilan Kedah.
  • Konvensyen berperanan sebagai platform perancangan strategik untuk menentukan keutamaan perjuangan dan menyusun hala tuju politik negeri.
  • Matlamat memperkukuh kesiapsiagaan parti, meningkatkan keyakinan anggota serta mengukuhkan sokongan rakyat untuk tadbir urus adil dan berwibawa.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah, Tunku Nashrul Abaidah.

“Kehadiran beliau mencerminkan komitmen kepimpinan tertinggi untuk terus memperkukuh PKR di Kedah, di samping menegaskan keperluan politik berprinsip, kepimpinan berintegriti dan pembelaan berterusan terhadap kepentingan serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, konvensyen berkenaan menjadi platform perancangan strategik untuk menetapkan keutamaan perjuangan, menyusun hala tuju politik negeri dan menyelaras gerak kerja parti secara lebih sistematik serta berfokus.

Ia akan menghimpunkan pimpinan dan anggota dari seluruh negeri sebagai manifestasi usaha memperbaharui iltizam PKR dalam memperjuangkan agenda reformasi, keadilan sosial, pentadbiran yang adil, telus dan berintegriti.

Tunku Nashrul berkata konvensyen itu dijangka menjadi pemacu penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan parti dan organisasi serta meningkatkan keyakinan anggota menghadapi cabaran politik semasa dan mendatang.

Ia juga bertujuan mengukuhkan sokongan rakyat dan memperjuangkan tadbir urus yang adil serta berwibawa di negeri Kedah.