fb fb fb fb fb

PM gesa syarikat Malaysia teroka peluang kerjasama dengan Brazil

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pertemuan dengan Industri Semikonduktor Malaysia-Brazil di Rio de Janeiro/ BERNAMA

RIO DE JANEIRO, 18 November- Syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat dengan industri semikonduktor serta elektrik dan elektronik digesa mencari peluang kerjasama dengan syarikat-syarikat Brazil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi memperluaskan lagi peluang perniagaan dałam pasaran antarabangsa.

Kerjasama dengan negara-negara selatan global dapat memberi akses kepada syarikat tempatan terhadap pengetahuan, penyelidikan serta kepakaran dalam bidang tersebut.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan wakil industri semikonduktor Malaysia dan Brazil serta mengambil bahagian dalam Sesi Meja Bulat Bersama Ketua-ketua Industri Brazil.

Dalam Mesyuarat Meja Bulat, Datuk Seri Anwar berkata, walaupun Malaysia dan Brazil berasal daripada dua wilayah yang jauh, namun potensi kerjasama kedua-dua negara sangat besar.

Brazil merupakan tonggak ekonomi Amerika Latin dan mengalami pemulihan ekonomi terpantas di rantau ini.

Malaysia pula, kini semakin diiktiraf sebagai hab semikonduktor dan menjadi tarikan utama bagi pusat data dan kecerdasan buatan (AI).

“Walaupun jumlah perdagangan eksport semikonduktor dari Brazil agak kecil berbanding Malaysia, anda telah cemerlang dalam beberapa bidang yang boleh memberikan kelebihan kepada kedua-dua negara, kerana kami juga cemerlang dalam bidang-bidang lain", ujarnya.

Mesyuarat itu dihadiri 34 pemimpin industri dari 20 syarikat terkemuka dan persatuan perniagaan Brazil yang berminat untuk mengimport produk dan perkhidmatan minyak dan gas, semikonduktor serta minyak sawit dan lemak masak.

Terdahulu, berlangsung pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) melibatkan industri semikonduktor Malaysia dan Brazil.

MoU tersebut ditandatangi Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Bhd Dr Saat Shukri Embong dan Ketua Pegawai Eksekutif Eldorado Institut Roberto Soboll.

Selain itu, satu lagi MoU turut dimeterai melibatkan Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Datuk Seri Wong Siew Hai serta Presiden Persatuan Industri elektrik dan elektronik, Dr Humberto Barbato.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

ROSLINA BINTI DIN