PM doakan Agong dikurniakan keafiatan

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 27 Februari – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan doa agar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dikurniakan keafiatan berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan, rahmat dan inayah Allah SWT.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri mendoakan Yang di-Pertuan Agong dikurniakan keafiatan berpanjangan dan lindungan Allah.
  • Doa disampaikan menerusi hantaran Facebook susulan keadaan kesihatan Baginda yang sedang gering.
  • Istana Negara memaklumkan Agong dinasihatkan berehat dan tidak menghadiri majlis rasmi untuk rawatan.
  • Baginda bertitah akan kembali berangkat ke majlis rasmi sebaik pulih.

Ucapan itu dizahirkan menerusi satu hantaran di Facebook susulan keadaan kesihatan Seri Paduka Baginda yang kini sedang gering akibat kesakitan musculoskeletal melibatkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul.

Menurut kenyataan Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong telah dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya berehat dan tidak berangkat ke sebarang majlis rasmi bagi memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan.

Terdahulu Istana Negara turut memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong bertitah akan kembali berangkat ke majlis-majlis rasmi sebaik sahaja kesihatan Baginda beransur pulih.