PUTRAJAYA, 12 Disember - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengadakan sidang media pada pukul 11 pagi ini.
Sidang media tersebut antara lain bagi mengumumkan berkaitan rombakan kabinet di bawah pimpinan beliau.
“Ada sikit pertambahan, tapi lebih kecil dari kabinet kerajaan sebelum ini. Saya akan memindahkan beberapa tugas dan tanggungjawab saya," kata Anwar ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Menteri Kewangan, di sini.
Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Menteri Persekutuan dijadualkan berlangsung di Istana Negara pada 2.30 petang hari ini.
Terdahulu, Anwar memberi bayangan bahawa rombakan Kabinet akan berlaku dalam bulan ini.
Ketika ini, terdapat kekosongan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup susulan kematian Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Jawatan itu kini dipangku Datuk Armizan Mohd Ali yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas).