PUTRAJAYA, 28 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Pengasas Bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grab Holdings Inc, Anthony Tan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman sosial facebook berkata dalam pertemuan itu, Tan yang juga CEO Grab Holdings membentangkan potensi pelaburan Grab di Malaysia.
"Ini terkait dengan perniagaan seperti Grab dan Jaya Grocer.
"Selain itu, pengoperasian GX Bank di Malaysia dijangka melibatkan pelaburan sebanyak RM1.5 bilion bagi tempoh lima tahun akan datang", katanya menerusi facebook.
Beliau berkata pertemuan tersebut turut membincangkan bagaimana Grab dapat berkembang dengan model perniagaan yang dapat membantu masyarakat dan perniagaan di Malaysia.
"Semoga kecekalan saudara Anthony menjadi pendorong kepada anak-anak Malaysia lain, terutamanya yang berminat menceburi bidang keusahawan teknologi", katanya.
Anthony adalah usahawan kelahiran Malaysia yang berjaya mengasaskan syarikat teknologi yang disenaraikan di Bursa Saham Nasdaq, Amerika Syarikat.
Grab kini mempunyai modal pasaran sebanyak AS$12.34 bilion.
Turut serta dalam pertemuan itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.