PM bimbang perpecahan negara Islam susulan konflik Asia Barat

FOTO BERNAMA

PERMATANG PAUH, 7 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan terhadap perpecahan yang berlaku dalam kalangan negara Islam susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan Israel digambarkan sebagai serangan kejam, mencetuskan ketegangan baharu dan ketidaktentuan di rantau Asia Barat.
  • Serangan terhadap sebuah negara Islam menimbulkan kekalutan dan perpecahan dalam kalangan negara Islam sendiri.
  • Beliau menghubungi pemimpin dari Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain secara peribadi untuk membincangkan perkembangan.
  • Menggesa kerjasama antara negara Islam kerana kekuatan dan penyelesaian memerlukan kesepakatan bersama.

Menurut beliau, tindakan Israel yang disifatkan sebagai serangan kejam itu bukan sahaja mencetuskan ketegangan baharu,malah menimbulkan keadaan tidak menentu di rantau berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menghubungi beberapa pemimpin negara Islam secara peribadi bagi membincangkan perkembangan semasa serta menggesa kerjasama antara negara Islam bagi menangani situasi tersebut.

“Bayangkan, sebuah negara Islam diserang. Kemudian akibat pertempuran itu timbul keadaan yang kalut dalam kalangan negara Islam sendiri.

“Sebab itu saya terpaksa menghubungi rakan-rakan kita dari Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain untuk menyatakan simpati serta pandangan kita yang menentang penjajahan, keganasan dan kebiadaban Israel,”

“Namun pada masa sama, kita juga mengajak mereka bekerjasama kerana kita tidak mungkin membina kekuatan tanpa kesepakatan bersama untuk menyelesaikan masalah,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Masjid Jamek Mengkuang Titi dan Sambutan Nuzul Al-Quran 1447H di sini.