
KUALA LUMPUR, 27 Januari – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang dilihat berisiko mencetuskan konflik terbuka dalam suasana geopolitik yang semakin rapuh.
- Perdana Menteri bimbang ketegangan AS dan Iran boleh mencetuskan konflik terbuka dan menggugat kestabilan Asia Barat.
- Penumpuan aset ketenteraan kedua pihak mengehadkan ruang perbincangan dan meningkatkan risiko ancaman keselamatan maritim serta kejutan ekonomi.
- Malaysia menyeru semua pihak berundur, utamakan diplomasi segera dan puji peranan Oman dalam memudahcara dialog meredakan ketegangan.
Beliau berkata, penumpuan aset ketenteraan yang semakin ketara daripada kedua-dua pihak semakin menutup ruang untuk sebarang perbincangan.
“Sebarang konfrontasi antara Washington dan Tehran akan membawa kesan besar kepada kestabilan Asia Barat yang dilihat semakin rapuh.
“Risiko peningkatan konflik melalui proksi, ancaman terhadap keselamatan maritim serta kejutan ekonomi berpotensi melepasi sempadan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata Malaysia menggesa semua pihak agar berundur daripada konflik itu dan kembali memberi komitmen kepada usaha diplomasi segera selain memanfaatkan semua saluran komunikasi.
Dalam hal itu, beliau memuji usaha konstruktif Oman dalam memudah cara dialog bagi meredakan ketegangan.
Malaysia juga menggesa semua negara yang berpengaruh agar menggunakan segala cara yang ada bagi mengurangkan ketegangan demi kestabilan serantau dan antarabangsa.