fb fb fb fb fb

PM berlepas ke Turkiye atas semangat persahabatan

SEPANG, 15 Februari- Atas semangat persahabatan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas ke Turkiye bagi memberi sokongan moral kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan dan menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara itu.

Pesawat khas yang membawa Datuk Seri Anwar berlepas pada pukul 11.15 malam dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Lawatan ke Turkiye turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Amrizan Mohd Ali serta pegawai tinggi kerajaan.

Perdana Menteri dalam lawatan sulung kurang 24 jam ke Turkiye dijangka akan melawat kawasan terjejas gempa bumi di Gaziantep waktu tempatan Turkiye 7.30 minit pagi esok selepas tiba di negara itu.

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaminkan doa di Kompleks Bunga Raya
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Turkiye)

Pada masa sama, beliau dijangka bertemu Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) sebelum berlepas ke Ankara.

Di Ankara, Perdana Menteri dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Presiden Tecep Tayyip Erdogan.

Datuk Seri Anwar memaklumkan beliau ke Turkiye atas permintaan Presiden Erdogan.

Lebih RM25 juta berjaya dikumpulkan menerusi Majlis Sumbangan Dana Bencana bagi meringankan beban mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria.

Malaysia antara negara terawal yang menghulurkan bantuan kepada negara itu khususnya dalam menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi.
Pasukan SAR Malaysia adalah yang pertama dari negara ASEAN tiba di negara tersebut.

Turkiye menghargai segala bantuan dihulurkan oleh semua negara untuk misi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi.

Sehingga kini, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan lebih 8,000 orang yang masih hidup di bawah runtuhan akibat gempa bumi kuat yang melanda Turkiye minggu lalu.

Media Baharu