fb fb fb fb fb

PM beramah mesra bersama-sama pengunjung Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat reruai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan

KUANTAN, 6 Julai - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan melakukan 'Walkabout' melawat reruai pada Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan.

Beliau bersama-sama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rombongan meluangkan masa melawat reruai agensi kerajaan antaranya di pameran KKDW, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Tourism Malaysia dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

Beliau turut berkesempatan melawat reruai bertemakan bidang Pendidikan dan LatihanTeknikal dan Vokasional (TVET) yang turut melibatkan pelajar-pelajar sekolah.

Dalam sesi walkabout itu juga, beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan pengunjung yang hadir membanjiri program berkenaan sejak pukul 9.00 pagi tadi. 

Setelah itu, beliau mengunjungi reruai dapur panas yang menyediakan hidangan tempatan pantai timur sebelum bergerak pulang. 

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapannya turut memaklumkan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur pada hari ini telah mencatatkan kehadiran 121,000 pengunjung.

Program yang berlangsung sejak semalam hingga esok itu merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang diperluaskan penganjurannya ke peringkat negeri mengikut zon.

Penganjurannya memberi peluang kepada masyarakat memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) program kali ini turut mendapat kerjasama strategik KKDW sebagai kementerian peneraju program berkenaan selain mendapat kerjasama penuh daripada kerajaan negeri Pahang.

TETITIA YUSOFF