KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada pukul 4.00 petang ini.
Belanjawan itu merupakan yang keempat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI serta yang pertama dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang menjadi asas utama pelaksanaan pelan pembangunan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
"Insya-Allah, petang ini saya akan membentangkan Belanjawan MADANI Keempat di Dewan Rakyat. Belanjawan ini bukan sekadar angka dan perbelanjaan tetapi hala tuju untuk memastikan kerajaan terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
"Saksikan pembentangan Belanjawan MADANI 2026 secara langsung di semua saluran televisyen dan platform digital utama," jelas Anwar menerusi hantaran Facebook rasmi beliau pagi ini.
Menurut kenyataan prabelanjawan yang diterbitkan di laman sesawang khas Kementerian Kewangan, Belanjawan 2026 meneruskan momentum berasaskan landasan kukuh yang dibina melalui Belanjawan MADANI terdahulu dengan memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama Ekonomi MADANI – menaikkan siling pertumbuhan negara, meningkatkan taraf hidup rakyat serta memperkukuh tadbir urus dan reformasi sektor awam.
Dalam mendepani ketidaktentuan global dan persaingan ekonomi serantau, tumpuan Belanjawan 2026 turut digerakkan ke arah pelaksanaan agenda ekonomi jangka panjang di samping menangani cabaran jangka pendek bagi mengekalkan pertumbuhan dan ketahanan ekonomi negara.
Usaha memperkasa kesejahteraan rakyat akan terus digiatkan melalui bantuan lebih bersasar berasaskan keberhasilan, ke arah menambah baik kualiti hidup.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sebelum ini menjelaskan, Belanjawan MADANI Keempat akan menumpukan kepada usaha membela rakyat, memperkukuh ekonomi serta memperteguh asas negara yang mampan dan inklusif.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 akan dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari selepas pembentangan hari ini, diikuti sesi penggulungan kementerian dari 29 Oktober hingga 4 November dan perbahasan di peringkat jawatankuasa dari 5 hingga 27 November bagi kelulusan Dewan Rakyat.