fb fb fb fb fb

PM belum terima butiran peletakan jawatan Datuk Ewon

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 24 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan belum menerima sebarang butiran berhubung peletakan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

“Belum lagi,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al Quddus, Presint 16, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Penampang itu, turut menghadiri Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini.

Ahad lepas, media melaporkan Datuk Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), menyatakan kesediaan meletak jawatan sebagai Menteri, jika Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengiktiraf hak Sabah ke atas perkongsian hasil persekutuan dari negeri itu.

Semalam, AGC memaklumkan, pihaknya akan mengkaji penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi itu terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan susulan.

ANDY REZA ROHADIAN BIN KHAIRUL ANWAR