fb fb fb fb fb

PM batal lawatan kerja ke Pahang atas nasihat doktor - PMO

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membatalkan lawatan kerja beliau ke Pahang yang dijadualkan hari ini selepas dinasihatkan oleh pasukan perubatan agar berehat akibat mengalami sakit belakang.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), pembatalan pada saat akhir itu dibuat selepas keadaan kesihatan Perdana Menteri menyebabkan pergerakan beliau terbatas.

“Atas nasihat doktor, Perdana Menteri dinasihatkan agar mendapatkan rehat yang mencukupi,” jelas kenyataan itu.

PMO turut memaklumkan, Datuk Seri Anwar menyampaikan permohonan maaf setulusnya, khususnya kepada rakyat Pahang yang telah bersiap sedia menyambut kehadiran beliau.

Perdana Menteri dijadualkan menghadiri dua program utama di negeri itu, iaitu Majlis Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2025 di Temerloh serta Program Temu Anwar@UMPSA di Dewan Utama Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang.

Datuk Seri Anwar baru sahaja pulang ke tanah air semalam selepas menamatkan lawatan kerja ke Korea Selatan, di mana beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada Jumaat lepas.

Sebelum itu, beliau turut mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin dunia berpengaruh di ibu negara dari 26 hingga 28 Oktober lalu.

Dalam pada itu, ciapan mengenai pembatalan lawatan kerja Perdana Menteri ke Pahang turut mendapat perhatian meluas di media sosial.

Sejurus makluman itu dikeluarkan PMO, rata-rata warganet menzahirkan doa dan kata-kata semangat agar beliau segera sembuh dan kembali sihat.

"Saya mendoakan semoga beliau (PM) akan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta tenaga yang cukup untuk beliau terus memperjuangkan pembangunan dan keamanan negara kita. Berehatlah," luah Ng Ming Lee.

"Semoga cepat sembuh dan sentiasa dilindungi Allah, sejahtera hendaknya," luah Emzek Iskandar.

"SyafakAllah PMX. Semoga dikurniakan Allah kesembuhan dengan segera dan yang tiada mudharatnya," luah Habil Akram Rosland.

Mereka turut menyatakan keprihatinan terhadap jadual tugas Perdana Menteri yang padat, selain menyeru agar beliau diberikan ruang untuk berehat secukupnya seperti yang disarankan doktor.

Situasi itu mencerminkan sokongan dan kasih rakyat terhadap pemimpin negara, dengan harapan Datuk Seri Anwar dapat kembali menjalankan tanggungjawab beliau seperti biasa selepas pulih sepenuhnya.

 

 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN