PM arah penguatkuasaan lebih tegas di semua peringkat pentadbiran

Foto RTM

BATU CAVES, 30 Januari – Penguatkuasaan lebih tegas dan menyeluruh perlu dilaksana melibatkan semua peringkat pentadbiran bagi memastikan kelemahan pelaksanaan dasar serta peraturan dapat diperbaiki demi kepentingan rakyat dan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri arah penguatkuasaan lebih tegas dan menyeluruh melibatkan semua peringkat pentadbiran.
  • Kelemahan pelaksanaan berlaku di persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, termasuk pematuhan peraturan.
  • Penguatkuasaan di peringkat atasan seperti ketua setiausaha dan ketua pengarah perlu dipantau rapi.
  • Tindakan penguatkuasaan sedia ada mesti diteruskan konsisten sehingga beri kesan positif kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kelemahan pelaksanaan dasar bukan sahaja berlaku di peringkat persekutuan, malah turut melibatkan peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan, termasuk aspek pematuhan peraturan.

“Tentunya kerosakan selalunya berpunca daripada atas, sebab itu saya tekankan penguatkuasaan di peringkat atasan seperti ketua setiausaha, ketua pengarah, pengarah-pengarah termasuk jemaah menteri.

“Mereka perlu dipantau dengan cukup teliti,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood hari ini.

Perdana Menteri memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri telah membincangkan isu penguatkuasaan, namun menegaskan kerajaan tidak boleh mudah berpuas hati dengan tindakan awal yang telah diambil.

Dalam masa sama, Datuk Seri Anwar turut memberi perhatian kepada isu di peringkat bawahan, termasuk pengurusan gerai, tahap kebersihan, serta kemasukan dan penggajian pekerja asing yang tidak mematuhi peraturan.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan agar tindakan penguatkuasaan yang telah diumumkan sebelum ini diteruskan secara konsisten sehingga memberi kesan positif yang jelas kepada rakyat dan negara.