PUTRAJAYA, 27 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi menangani insiden serangan siber terhadap sistem digital MAHB.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri menegaskan bahawa kerjasama antara pasukan kerajaan dan industri perlu seiring bagi memastikan infrastruktur kritikal negara sentiasa dilindungi pada tahap tertinggi daripada sebarang ancaman.
"Keupayaan tempatan dalam mengendalikan insiden keselamatan siber harus sentiasa berada pada tahap terbaik. Kerjasama antara pasukan kerajaan dan industri perlu seiring bagi memastikan perlindungan infrastruktur kritikal negara berada pada tahap tertinggi," katanya.
Tunku Nashrul berkata demikian pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Beliau berkata Perdana Menteri turut menekankan bahawa kapasiti serta kompetensi pakar tempatan harus terus diperkukuh bagi meminimumkan kebergantungan kepada pihak asing dalam menguruskan sistem kritikal negara.
Orang ramai juga diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih dan sebaliknya merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Perdana Menteri sebelum ini mendedahkan sistem digital MAHB telah diserang baru-baru ini, dengan penggodam menuntut bayaran AS$10 juta.
Bagaimanapun, Anwar berkata kerajaan tidak tunduk kepada ugutan itu, selain menyatakan keperluan meningkatkan sistem negara dengan dana tambahan kepada beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia.