fb fb fb fb fb

PM arah laporan berhubung pensijilan halal dibentang minggu depan

Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, hari ini /FOTO RTM

PUTRAJAYA, 11 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar menyediakan laporan lengkap berkenaan pensijilan halal.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, laporan berhubung cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan babi dan alkohol di negara ini memiliki sijil halal itu, akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.

"Perdana Menteri telah minta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menyediakan laporan serta langkah seterusnya untuk dibentang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

"Isu-isu pensijilan halal memang dari semasa ke semasa akan dibincangkan terutama dari segi pelaksanaan, tapi dari segi dasar kita perlu tunggu pembentangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) minggu depan,"katanya.

Tambah Fahmi, kerajaan sentiasa membincangkan isu pensijilan halal dari semasa ke semasa terutama dari segi pelaksanaannya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.

Pada 6 September lalu, Datuk Mohd Naim dilaporkan sebagai berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Isu itu mencetuskan kontroversi apabila ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dilaporkan berkata pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela, bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan kerajaan tiada rancangan untuk meneruskan inisiatif yang memerlukan semua penyedia perkhidmatan internet (ISP) melaksanakan pengalihan Sistem Nama Domain (DNS) menjelang akhir bulan ini.

Menurutnya, Kementerian Komunikasi telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meneruskan sesi libat urus dengan semua penyedia perkhidmatan bagi mencari kaedah terbaik menangani isu keselamatan dalam talian.

Jelas beliau lagi, kerajaan akan meneliti pelbagai usaha yang diambil dari negara lain bagi menangani isu keselamatan dalam talian khususnya membabitkan media sosial.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE