PM arah gangguan teknikal di pintu masuk negara tidak berulang

FOTO AGENSI KAWALAN DAN PERLINDUNGAN SEMPADAN BSI

PUTRAJAYA, 12 Januari – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya insiden gangguan teknikal yang berlaku di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor baru-baru ini tidak berulang di mana-mana pintu masuk negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • PM arahkan gangguan teknikal di pintu masuk negara tidak berulang dan tindakan pencegahan diperketatkan.
  • AKPS beri arahan kepada semua komander, khususnya BSI dan KSAB, untuk memantau sistem kemasukan rapi.
  • Komander mesti lapor awal jika ada petanda sistem gagal supaya penyelesaian masalah dapat dilaksanakan segera.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata arahan berkenaan dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam mesyuarat koordinasi berkaitan insiden tersebut, hari ini.

Susulan itu, beliau berkata arahan telah dikeluarkan kepada semua komander, khususnya di BSI dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), supaya memantau secara rapi sistem kemasukan di pintu masuk negara berkenaan.

“Saya secara peribadi telah memberi arahan kepada semua komander, terutamanya BSI, supaya sekiranya mereka melihat sebarang petanda bahawa sistem tidak berfungsi dengan baik, pihak ibu pejabat dimaklumkan lebih awal.

“Ini bagi membolehkan tindakan penyelesaian masalah di peringkat awal dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan watikah komander AKPS di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa puluhan ribu warga asing terkandas dan terpaksa beratur panjang di dua pintu masuk darat Malaysia–Singapura susulan gangguan teknikal yang menyebabkan kebanyakan pintu automatik imigresen tidak berfungsi, Sabtu lalu.

Semalam, gangguan sistem eGate di BSI masih belum pulih, namun operasi kawalan sempadan kekal berjalan seperti biasa dengan implikasi terhad kepada pemegang pasport asing.