KUALA LUMPUR, 15 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarahi Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas sejurus selepas menghadiri Kongres Nasional Khas KEADILAN di Shah Alam hari ini.
Dalam pertemuan yang penuh kekeluargaan itu, Anwar berkongsi kenangan sewaktu menjadi mahasiswa, mendalami karya-karya besar Syed Muhammad Naquib terutama karya beliau berjudul 'Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu' serta 'Islam and Secularism'.
"Sebagai anak muda ketika itu, saya turut bertuah kerana sering terlibat menyaksikan wacana dan perdebatan ilmiah yang begitu mengasyikkan antara beliau dan seorang lagi gergasi ilmuwan negara yang juga merupakan kekanda beliau, Prof Dr Syed Hussein Al-Attas," kata Anwar menerusi Facebook beliau.
Beliau turut mengenang jasa Syed Muhammad Naquib sebagai pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) yang berjaya menarik minat generasi ilmuwan dari seluruh dunia untuk menuntut ilmu di Malaysia.
Anwar menegaskan bahawa ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri, beliau memberi perhatian khusus terhadap pengembangan ilmu di ISTAC, yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat ilmu Islam antarabangsa
"Khutub khanah ISTAC sememangnya tersohor sebagai antara perpustakaan terbaik yang menghimpunkan koleksi khas bahan ilmiah dan kebudayaan Islam untuk pengajian peringkat tinggi," ujar Anwar.
Semasa pertemuan itu, Anwar turut mendengar syarahan daripada Syed Muhammad Naquib mengenai pelbagai topik termasuk Aqā´id al-Nasafī, Historical Fact and Fiction, serta pemikir-pemikir Barat seperti Voltaire dan Rene Guenon.
Dalam kesempatan itu, beliau menerima nasihat berharga tentang pentingnya keyakinan dan kefahaman Islam yang benar berasaskan suluhan Al-Quranul Karim.
"Insya-Allah, Kerajaan MADANI komited untuk memanfaatkan gagasan pemikiran dan karya-karya Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib Al-Attas untuk pembangunan ilmiah rakyat dan negara melalui kegiatan-kegiatan ilmiah yang bakal dirancang," kata Perdana Menteri.