KUALA LUMPUR, 14 April- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif, bagi mengurangkan kesulitan dan memastikan urusan berjalan lancar sempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping selama tiga hari ke Malaysia bermula esok.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata Perdana Menteri turut meminta pengendali perkhidmatan pengangkutan awam, untuk memastikan ketersediaan aset bagi memastikan keselesaan pengguna sepanjang lawatan itu.
"Perdana Menteri mengambil maklum berhubung kesulitan yang timbul susulan penutupan beberapa laluan utama Sabtu lepas, bagi memberi laluan kepada sesi raptai sempena lawatan negara Presiden Xi.
"Seperti dimaklumkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, 17 laluan sekitar Lembah Klang dan Putrajaya akan turut ditutup atau dilencongkan secara berperingkat, sepanjang lawatan negara ini berlangsung atas faktor keselamatan dan kelancaran istiadat rasmi negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Lawatan negara Xi adalah atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, selepas lawatan pertama beliau pada 2013 dan ia merupakan kesinambungan hubungan diplomatik Malaysia-China yang telah terjalin sejak lebih 50 tahun lepas.
Xi dijadualkan menerima istiadat Sambutan Negara di Istana Negara dan menghadiri majlis santapan negara bersama Sultan Ibrahim pada pagi Rabu, sebelum mengadakan pertemuan dengan Anwar di Kompleks Seri Perdana pada sebelah petang bagi membincangkan kerjasama dua hala dan isu serantau, serta menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman, perjanjian dan nota diplomatik.
Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri menjelaskan bahawa, meskipun lawatan ini berlangsung dalam suasana geopolitik dan geoekonomi serantau yang mencabar, ia telah dirancang lebih awal sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh hubungan dua hala.
Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia sebuah negara perdagangan mengamalkan keterbukaan dan hubungan seimbang dengan semua rakan antarabangsa.
"Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga memikul tanggungjawab penting untuk terus mendukung keterangkuman dan keamanan serantau," katanya.
Sejurus lawatan negara itu, Tunku Nashrul memaklumkan Perdana Menteri akan ke Thailand pada Khamis, untuk mengadakan lawatan kerja dan bertemu Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.
Beliau berkata fokus pertemuan itu menjurus perbincangan terkait memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama rentas sempadan, termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir Sungai Golok-Rantau Panjang, selain isu semasa dan serantau membabitkan kepentingan Malaysia, Thailand dan ASEAN.
"Insya-Allah, Perdana Menteri juga dijadualkan bertemu Pengerusi State Administrative Council (SAC) yang juga Perdana Menteri Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing di Bangkok, dan ini pertemuan julung kali antara ketua negara ASEAN dengan Jeneral Aung Hlaing.
"Pertemuan ini bagi membincangkan bantuan kemanusiaan akibat gempa bumi di Myanmar," katanya.
Seperti kebiasaan lawatan Anwar ke luar negara, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri akan menggunakan kesempatan ini untuk bertemu ketua-ketua industri Thailand, selain mengadakan pertemuan kumpulan penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN yang diketuai bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra. -BERNAMA