fb fb fb fb fb

PM Anwar mahu Warisan KL perlu fokus kesejahteraan rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

KUALA LUMPUR, 25 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap pembangunan di ibu kota, termasuk projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI, perlu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dengan meningkatkan kualiti hidup mereka.

Anwar berkata perancangan pembangunan semula nadi Kuala Lumpur mesti dilakukan secara tuntas, berakar kepada identiti tempatan serta menyediakan kemudahan yang menyeluruh kepada masyarakat setempat.

“Mulakan kerangka moden yang baru, berakar ke bumi dan memberi kemudahan kepada rakyat. Gedung besar pelancong lihat, tetapi restoran kecil, warungnya, tempat permainan anak-anak, perpustakaan – hampir tiada.

"Perancangan mesti langsung dan tuntas, memusatkan kepada negara moden tanpa meminggirkan rakyat. Saya tak boleh terima projek gedung besar semata-mata. Saya mahu gedung kecil, warung bersih, tetapi mematuhi dan memuliakan rakyat,” katanya pada majlis peluncuran projek itu di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Menurut Perdana Menteri, inisiatif ini bukan sekadar merangkumi pembangunan fizikal, tetapi turut memelihara budaya, sejarah serta memperkukuh nilai komuniti ibu kota.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif. 

GRACE AISYAH KEDAYAN