PM Anwar akhiri lawatan ke Jakarta, bincang isu geopolitik bersama Prabowo

Datuk Seri Anwar Ibrahim berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta/PMO

JAKARTA, 27 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menamatkan lawatan khas ke Jakarta hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka, di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia dan Indonesia bersetuju mempergiat usaha diplomatik meredakan konflik Asia Barat serta melindungi nyawa orang awam dan buka ruang rundingan penyelesaian aman.
  • Kedua negara menegaskan kepentingan memperkukuh kesepaduan serantau berteraskan prinsip bagi mengekalkan keamanan, kestabilan dan meningkatkan daya tahan ekonomi rakyat.
  • Pemimpin menekankan kepentingan memastikan kelangsungan rantaian bekalan global dan laluan perdagangan strategik termasuk Selat Hormuz tidak terjejas.

Pertemuan yang bermula pada pukul 4.30 petang waktu tempatan itu berlangsung dalam suasana perkembangan geopolitik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Seusai perbincangan, Prabowo mengiringi Datuk Seri Anwar secara peribadi ke Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma sebagai tanda hubungan erat dan muhibah antara kedua-dua pemimpin.

Datuk Seri Anwar berlepas pulang ke tanah air kira-kira pukul 7.15 malam waktu tempatan, sekali gus menamatkan lawatan kerja sehari beliau.

Lawatan itu diadakan atas jemputan Prabowo susulan perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin pada 23 Mac lepas, selain menjadi kunjungan pertama Datuk Seri Anwar ke Jakarta tahun ini.

Ia turut menyusul lima siri pertemuan peringkat tinggi antara kedua-dua pemimpin tahun lalu, termasuk Konsultasi Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13 yang berlangsung pada 28 Julai di Jakarta.

Sebagai hasil utama pertemuan itu, Datuk Seri Anwar dalam satu kenyataan memaklumkan Malaysia dan Indonesia bersetuju mempergiat usaha diplomatik bagi meredakan konflik di Asia Barat, melindungi nyawa orang awam serta membuka ruang rundingan ke arah penyelesaian aman dan berkekalan.

Dalam suasana ketidaktentuan global yang semakin meningkat, kedua-dua negara turut menegaskan kepentingan memperkukuh kesepaduan serantau berteraskan prinsip bagi mengekalkan keamanan, menjamin kestabilan serta meningkatkan daya tahan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Dalam pertemuan hampir dua jam itu, kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan memastikan kelangsungan rantaian bekalan global serta laluan perdagangan strategik, termasuk Selat Hormuz, tidak terjejas. -BERNAMA