PUTRAJAYA, 20 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi Malaysia berangkat pulang ke Kuala Lumpur hari ini selepas selesai lawatan rasmi ke Manama, Bahrain.
Menerusi kenyataan di Facebooknya, beliau memaklumkan kunjungan tersebut telah mencapai objektif dalam mengukuhkan hubungan serta kerjasama antara Malaysia dan Bahrain.
"Alhamdulillah, kunjungan ini telah mencapai objektif dalam mengukuhkan hubungan serta kerjasama antara Malaysia dan Bahrain," katanya.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain Putera Salman Bin Hamad Al Khalifa atas undangan sebagai tamu negara.
"Penghargaan saya kepada Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Bin Hamad Al Khalifa atas undangan sebagai tamu negara," katanya.
Selain itu, beliau turut diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan dalam Persidangan Dialog Intra-Islam (IIDC) yang dianjurkan di bawah naungan Raja Bahrain dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif merangkap Pengerusi Majlis Hukama' Muslimin.
Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memastikan kelancaran lawatan tersebut.
"Terima kasih juga buat pasukan kementerian, pihak kedutaan, petugas keselamatan dan rakan media yang melicinkan setiap urusan sepanjang berada di Manama.
"Insya-Allah kita ketemu lagi," katanya.