KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama berhimpun di Dataran Merdeka bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata, himpunan ini juga menjadi titik mula kepada gerakan delegasi aktivis yang bakal membawa bantuan ke Gaza hujung bulan ini.
"Insya-Allah, Ahad ini akan bersama berhimpun di Dataran Merdeka bagi menyatakan solidariti buat saudara kita di Palestin yang terus dizalimi rejim Zionis.
"Ayuh kita semarakkan panji-panji keadilan dan kemanusiaan di Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza. Semoga doa dan usaha ini menjadi kekuatan untuk saudara kita terus bangkit dalam perjuangan memerdekakan bumi Palestin," menurut beliau.
Program akan diadakan di Dataran Merdeka pada Ahad ini bersempena Karnival Sumud Nusantara 2025, dengan pengisian rohani dan pidato tokoh Gaza serta kehadiran Perdana Menteri.
Sumud Nusantara merupakan inisiatif global menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, melibatkan lebih 70 kapal dari 39 negara bagi mendesak pengakhiran sekatan Israel melalui laluan laut.