fb fb fb fb fb

PM ajak rakyat nyatakan solidariti pada Himpunan Pembebasan Palestin esok

Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 3 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama berhimpun bagi menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin pada Himpunan Pembebasan Palestin yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil esok.

“Insya-Allah esok kita bersama-sama nyatakan solidariti, sokongan dan dukungan berterusan kepada rakyat Palestin. Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka!” katanya menerusi hantaran Facebook.

Himpunan yang dijadual bermula pada 6 petang itu bagi menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.

Perdana Menteri, dijangka menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu untuk menzahirkan sokongan terhadap perjuangan Palestin, bersama beberapa pemimpin lain.

Antara program yang diatur ialah Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kira-kira 20,000 orang dijangka hadir pada perhimpunan itu.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI