VIENTIANE, 10 Oktober- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Presiden Majlis Eropah, Charles Michel di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta sidang kemuncak berkaitan.
Dalam kenyataannya kepada media Malaysia; Perdana Menteri berkata antara yang dibincangkan Dalam pertemuan itu termasuk langkah memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) selain bertukar pandangan berkaitan perkembangan geopolitik serantau dan antarabangsa.
‘’Kami antara lain sepakat untuk berusaha mempertingkatkan kerjasama strategik ASEAN-EU, khususnya sewaktu Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun depan’’, katanya.
Perdana Menteri turut menyampaikan hasrat Malaysia untuk meneruskan perbincangan berkaitan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia-EU serte menyatakan beberapa pandangan berhubung Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) yang memberi kesan langsung kepada industri sawit negara.