ROM, 2 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan hari kedua lawatan rasmi ke Itali dengan mengadakan sesi libat urus bersama peneraju industri dan perniagaan utama negara itu.
Menurut Perdana Menteri, pertemuan bersama dua syarikat gergasi pertahanan Itali, Fincantieri dan Leonardo, yang menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, telah memperkukuh prospek kerjasama jangka panjang antara kedua-dua negara.
Pertemuan bersama Fincantieri dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pierroberto Folgiero, manakala Leonardo diwakili oleh Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Kempen Strategik, Tomasso Pani.
“Saya tekankan pentingnya pendekatan antara kerajaan (G2G) bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di rantau Asia Tenggara.
“Saya turut mengadakan pertemuan bersama syarikat tenaga Itali, ENI, untuk membincangkan kerjasama bersama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) di Malaysia serta meneroka peluang pelaburan baharu yang boleh dimanfaatkan secara bersama,” katanya.
Dalam sektor tenaga, Datuk Seri Anwar turut mengadakan pertemuan dengan syarikat tenaga Itali, ENI, yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Claudio Descalzi, bersama Tan Sri Tengku Muhammad Taufik selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS.
“Saya manfaatkan sesi ini untuk menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang stabil, progresif dan diyakini,” katanya sambil menyeru agar segala komitmen yang telah dizahirkan disusuli dengan tindakan konkrit agar pelaburan yang dirancang dapat direalisasikan dalam tempoh ditetapkan.
Dalam lawatan rasmi ke Itali, Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pertahanan; Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Itali mencatatkan peningkatan sebanyak dua peratus kepada RM14.61 bilion berbanding tempoh sama pada 2023.
Itali kekal sebagai rakan perdagangan kelima terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah dan pengimport negara EU ketiga terbesar minyak sawit Malaysia pada 2024.