
PETALING JAYA, 12 Mac – Jumlah trafik dijangka mencecah sehingga 2.3 juta kenderaan di lebuh raya kendalian Plus Malaysia Berhad (PLUS) pada hari puncak sempena sambutan Aidilfitri minggu depan, pertambahan sebanyak 21 peratus berbanding purata harian.
- Hari puncak perjalanan pada 18, 19 dan 20 Mac sebelum Aidilfitri serta 27, 28 dan 29 Mac selepas sambutan.
- Orang ramai diminta merancang perjalanan menggunakan jadual digital MyPLUS-TTA melalui aplikasi PLUS untuk mengurangkan kesesakan.
- PLUS laksana langkah operasi dan penambahbaikan termasuk Smart Lane, laluan tambahan, kemudahan dinaik taraf serta kerjasama dengan LLM, PDRM dan JPJ.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, hari puncak perjalanan adalah pada 18, 19 dan 20 Mac iaitu sebelum Aidilifitri serta 27, 28 dan 29 Mac selepas sambutan.
Justeru itu, orang ramai diminta merancang perjalanan pulang dan kembali berpandukan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA melalui aplikasi PLUS.
“Berdasarkan pengalaman kami ketika musim Tahun Baharu Cina yang lalu, trend trafik di lebuh raya menunjukkan pengguna yang mematuhi jadual perjalanan MyPLUS-TTA menikmati tempoh perjalanan yang lebih baik dan lancar berbanding mereka yang tidak mengikutinya.
“Ini kerana prinsip MyPLUS-TTA adalah mengatur trafik, iaitu menggalakkan pengguna memulakan perjalanan secara berperingkat bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai persiapan PLUS menghadapi peningkatan trafik sempena Aidilfitri di Persada PLUS, di sini hari ini
Menurutnya, PLUS juga akan mengaktifkan Smart Lane di 34 lokasi utama sepanjang Lebuhraya PLUS bagi membantu melancarkan aliran trafik.
Selain itu, laluan tambahan kepada tiga lorong sepanjang kira-kira tiga kilometer akan dibuka antara Simpang Renggam hingga Sedenak di Johor bermula 18 Mac hingga 5 April bagi meningkatkan kapasiti laluan di zon projek pelebaran lebuh raya.
PLUS turut melaksanakan penambahbaikan kemudahan di lebih 60 lokasi termasuk penyediaan 25 tandas kabin tambahan, menaik taraf lebih 37,000 lampu jalan serta menyediakan lebih 100 ruang kecemasan di sepanjang lebuh raya.

Sementara itu, PLUS juga menggalakkan pengguna mendaftar dengan Just Go.
“Sekiranya berdaftar dengan Just Go, anda dapat manfaat mengguna mana-mana lorong pilihan anda,” katanya.
Datuk Nik Airina turut memaklumkan, pihaknya bekerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan pengurusan trafik musim perayaan berjalan lancar.