fb fb fb fb fb

PLUS diarah kemuka laporan penuh isu paip gas di Lebuhraya ELITE

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) diarah mengemukakan laporan penuh dan lengkap berhubung kerja-kerja pemasangan paip gas di Kilometer (KM) 14.4 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) yang didakwa mengundang bahaya kepada pengguna / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Mac - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) diarah mengemukakan laporan penuh dan lengkap berhubung kerja-kerja pemasangan paip gas di Kilometer (KM) 14.4 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) yang didakwa mengundang bahaya kepada pengguna.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan isu melibatkan keselamatan pengguna jalan raya dan nyawa rakyat tidak boleh dipandang ringan.

“Saya amat memandang serius perkara ini dan telah mengarahkan pihak PLUS memberi laporan lengkap dan penuh kepada saya pada kadar segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Kenyataan itu sebagai respons kepada aduan daripada pelakon dan aktivis Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi yang mempersoalkan kerja-kerja pemasangan paip gas yang dikhuatiri mengundang bahaya kepada pengguna lebuh raya itu.

Nanta turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Lando selain memuji usaha aktivis itu yang sentiasa peka kepada sebarang isu terkait keselamatan pengguna jalan raya.

Sementara itu, PLUS menerusi kenyataan mengesahkan kerja-kerja pemasangan paip gas dijalankan pihak ketiga di lokasi terbabit dibuat tanpa kebenaran PLUS.

Hasil penilaian dan siasatan jururunding PLUS mendapati, laluan di KM14.4 di Lebuhraya ELITE itu stabil dan selamat digunakan pengguna lebuh raya berkenaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN