fb fb fb fb fb

PLKN 3.0 wajib, penangguhan dibenarkan dengan alasan munasabah

Ketua Pengarah JLKN, Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran ditemui selepas sesi latihan menembak senjata ringan oleh 67 Pelatih PLKN di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi

SUNGAI BESI, 8 Februari- Individu yang dipanggil menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, diwajibkan hadir.

Bagaimanapun, boleh mengemukakan permohonan penangguhan kepada Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), sekiranya mempunyai alasan munasabah.

Ketua Pengarah JLKN, Mejar Jeneral Datuk Ya'cob Samiran berkata individu yang terpilih namun terikat dengan komitmen kerja, perlu meminta pelepasan daripada majikan masing-masing.

Untuk siri pertama ini adalah secara sukarela, tetapi untuk siri kedua dan seterusnya adalah ikut perkerahan bersyarat.

Maknanya, apabila seseorang dipanggil untuk menjalani latihan PLKN, mereka perlu hadir dan sekiranya berhalangan atau mempunyai masalah masalah tertentu, mereka kena memohon untuk membuat penangguhan dan sebagainya," kata Datuk Ya'cob kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas sesi latihan menembak senjata ringan oleh 67 Pelatih PLKN di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi.

Tegasnya, majikan juga perlu memberi alasan yang munasabah jika tidak memberi pelepasan kepada pekerja untuk menyertai PLKN.

Sementara itu, pemakaian seragam celoreng Tentera Darat Malaysia (TDM) oleh peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 adalah selaras rutin negara lain yang menjalankan program sama.

Kajian terhadap pelbagai program khidmat negara menunjukkan majoriti negara memilih uniform celoreng tentera berbanding pakaian seragam alternatif.

Jelas Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran, pemakaian tersebut bagaimanapun telah diuji dari pelbagai aspek.

"Pakaian celoreng TDM ini telah diuji, dibuat spesifikasinya, kajiannya, penilaiannya dan semua telah lengkap.

Kalau kita guna pakaian lain daripada yang ada ini, ia memerlukan proses yang agak lama dan kosnya lebih mahal. Ini lebih murah sebab sudah ada dalam sistem," tambah Datuk Ya’cob.

Keputusan itu dipersetujui di peringkat nasional dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, penggunaan uniform sedia ada juga membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan kerana ia telah tersedia dalam inventori.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM