fb fb fb fb fb

PLKN 3.0 dirangka mengikut aspirasi dan keperluan negara

Gambar fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 7 Disember — Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dijadual bermula tahun depan akan mengikut acuan tempatan tanpa meniru format atau konsep dari mana-mana negara luar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menegaskan bahawa pendekatan baharu ini dirangka untuk memenuhi keperluan semasa negara, termasuk menangani cabaran yang berkaitan dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Jangan kita jadikan asas acuan ‘National Service’ di negara lain. Kita ada cara kita sendiri yang sesuai dengan keperluan dan aspirasi negara,” katanya pada sidang media di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa ancaman di Malaysia berbeza daripada situasi negara-negara seperti Korea Selatan dan Taiwan yang menghadapi ketegangan geopolitik.

“Kita tiada ancaman seperti mereka, tetapi kita berdepan cabaran untuk memupuk perpaduan dalam masyarakat yang majmuk. Jadi, kita akan laksanakan program ini mengikut cara kita sendiri,” tambahnya.

PLKN 3.0 akan dilaksanakan dengan konsep dan format baharu untuk warganegara Malaysia berumur 17 tahun dan ke atas mulai tahun 2025.

Konsep dan format baharu ini mengambil kira penilaian terhadap pelaksanaan PLKN yang terdahulu.

GRACE AISYAH KEDAYAN