PKR di tahap terbaik, PM tekad perkuat parti

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa konvensyen Keadilan Kedah / FOTO FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

ALOR SETAR, 13 Februari – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kedudukan parti itu kini berada pada tahap terbaik dan perlu terus diperkukuh bagi memastikan kekal utuh menghadapi cabaran politik semasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • PKR kini pada tahap terbaik dan mesti diperkukuh untuk kekal utuh menghadapi cabaran politik semasa.
  • Kekuatan sebenar parti terletak pada kerjasama berpasukan, penyatuan dan kepimpinan yang bersatu.
  • Anwar tukar fokus kepada perkuatkan parti selepas tiga tahun mengutamakan urus tadbir negara.

Perdana Menteri berkata walaupun PKR menghadapi cabaran lebih berat berbanding parti yang lain, kekuatan sebenar terletak pada kerjasama berpasukan yang mampu menggerakkan parti ke arah kemenangan.

Beliau juga menekankan, kejayaan parti bukan sahaja bergantung kepada kekuatan ahli tetapi juga kepada penyatuan dan kerjasama di peringkat pimpinan.

“Mulai saya memang kena diminta rasmi bangunan hospital di Pontian tetapi saya tumpu dua jam kumpul kekuatan dan pimpinan parti. Yang letih dan bosan tunggu dulu, tapi yang lain nak bangun bangkit.

“Saya yakin saudara libatkan kedudukan parti nak tengok bersatu sekarang, ya tengok PAS Perlis kita dalam keadaan yang terbaik,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Kedah di Alor Setar hari ini.

“Sejak tiga tahun lalu saya akui, selepas ambil alih jawatan Perdana Menteri, memang saya kurang beri perhatian kepada parti sebab saya nak betulkan ekonomi dan betulkan kerajaan.

“Saya terlalu banyak tekanan nak buat sasaran: tenaga, semikonduktor, digital transformation, reform pendidikan.

“Saya tumpu terlalu banyak masa. Cukup tiga tahun… sekarang saya tukar gear, saya nak perati parti, saya nak turun dan perkuatkan Keadilan sebagai parti yang ampuh dalam negara,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan cabaran memimpin negara sentiasa wujud, terutama dalam kerajaan yang dianggotai pelbagai parti.

Justeru, beliau menyeru semua wakil parti dalam kerajaan supaya terus bekerjasama sebagai satu pasukan dengan satu suara demi kestabilan dan kemajuan negara.