fb fb fb fb fb

PKNPk ambil berat aspek kebersihan Bazar Ramadan BSAS

Bazar Ramadan BSAS / FOTO PKNPk

IPOH, 14 Mac- Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) mengambil langkah proaktif dengan memastikan aspek kebersihan di tapak Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) berada dalam keadaan baik dan sempurna pada setiap masa.

Timbalan Ketua Eksekutif (Perhubungan Korporat) PKNPk Nurdita Fadzlinda menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya telah melantik syarikat kontraktor bagi mengendalikan kerja-kerja kebersihan dan pengurusan sampah sepanjang bazar Ramadan berlangsung.

"Sebanyak 20 unit tong sampah tambahan ditempatkan di kawasan tumpuan pengunjung terutama di kawasan tapak perkelahan di tengah bulatan.

"Kemudahan tandas yang mencukupi dan surau yang selesa turut terdapat di situ. Surau untuk lelaki dan wanita yang dilengkapi dengan tempat mengambil wuduk mampu memuatkan sekitar 30 orang dalam satu masa,"katanya.

Tambah Nurdita, kali ini pihaknya menyediakan ruang yang lebih luas kepada peniaga dengan saiz 10 kaki x 20 kaki dengan kadar sewa antara RM1500 hingga RM2500.

Inisiatif itu katanya selaras dengan aspirasi kerajaan negeri melalui Perak Sejahtera 2030 bagi memberi peluang dan galakan kepada usahawan kecil dan sederhana untuk mencari sumber pendapatan dengan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan.

"Susun atur bazar pada tahun ini juga lebih selesa untuk para pengunjung khususnya laluan pejalan kaki yang lebih lebar. PKNPk juga memastikan kemudahan parkir mencukupi untuk orang ramai dengan menyediakan parkir tambahan yang terletak bersebelahan Menara A PKNPk dan di kawasan Rumah Tradisional Melayu (RTM).

"Bagi pengunjung yang meletakkan kenderaan di BSAS, caj RM1 dikenakan pada hari biasa dan RM2 pada hujung minggu,"katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurut Nurdita, bazar yang diiktiraf terpanjang di negeri Perak dengan jajaran sejauh 500 meter itu menempatkan 100 gerai yang menyajikan aneka jenis kuih muih, lauk pauk dan minuman sebagai pilihan juadah berbuka puasa.

Jelasnya, Bazar Ramadan BSAS beroperasi dari pukul 3.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari bermula 12 Mac hingga 9 April 2024.

Menyentuh mengenai keunikan Bazar Ramadan BSAS, Nurdita berkata, menu menarik yang boleh didapati di Bazar Ramadan BSAS seperti Royal Popiah Kuala Kangsar, Air Tembikai Sarbat, Nasi Ayam Taugeh Las Vegas, Sloopyan Hot Dog, Ayam Goreng Kamiez, Bihun Sup Kedah, dan Nasi Vanggey.

Katanya, BSAS juga merupakan lokasi pilihan kepada trend berbuka gaya berkelah dalam kalangan orang ramai setiap tahun. Malah, trend berbuka secara santai itu telah menjadi tular pada tahun lalu.

"Adalah menjadi harapan kami untuk menganjurkan bazar Ramadan yang mesra pengunjung dan terbesar di Perak suatu hari nanti serta sentiasa memastikan Bulatan Sultan Azlan Shah lebih selesa untuk kegunaan pengunjung,"katanya.

Selain berkelah sambil berbuka itu antara lain aktiviti yang terdapat di BSAS adalah permainan seperti paddlers, go-kart dan soopa doopa yang akan beroperasi seperti biasa di sepanjang bulan Ramadan. Bagi penggemar kopi, 'Bean Here Coffee' jenama kopi keluaran tempatan di bawah kumpulan PKNPk turut beroperasi di BSAS sepanjang bulan Ramadan kali ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE