KUALA NERUS, 14 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu giat melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di lokasi terjejas banjir.
Pengarah KPDN Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, ia bagi memudahkan penduduk terjejas banjir mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian.
Sebanyak 18 lokasi telah dijadual penganjurannya. Enam di Hulu Terengganu, empat di Dungun, Marang tiga lokasi, masing- masing dua di Kuala Nerus dan Besut serta satu lokasi di Kemaman.
Katanya, pengguna boleh mendapatkan pelbagai barangan dengan potongan 10 hingga 30 peratus daripada harga pasaran.
"Dan kita laksanakan PJRM pasca banjir seminggu selepas banjir itu, kita fahamlah situasi penduduk, ini mungkin membuat persiapan membersih rumah, Jadi tidak sesuai lagi kita laksanakan jadi sesetengah lokasi itu kita laksanakan dua minggu atau tiga minggu selepas bencana banjir dan kita laksanakan di lokasi yang telah kita tentukan lokasi ini kita berdasarkan kesesuaian," kata Saharuddin.
Beliau ditemui selepas meninjau lokasi PJRM Pasca Banjir di Taman Desa Tanjung Damai, di Kuala Nerus. Perumahan terbesar di Kuala Nerus itu lokasi paling teruk terjejas banjir pada gelombang pertama dan kedua baru-baru ini.