fb fb fb fb fb

PJR diperbanyak di peringkat Parlimen, DUN - Armizan

Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 29 Februari- Penganjuran Program Jualan Rahmah (PJR) akan diperbanyakkan pada tahun ini sama ada di peringkat Parlimen mahupun peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Ia berikutan sambutan terhadap PJR amat menggalakkan pada tahun lalu.

"Bagi tahun 2024 ini, peruntukan untuk pelaksanaan program ini juga telah ditingkatkan sebanyak RM200 juta. Salah satu maklum balas yang kita dapat bagi tahun 2023 adalah masih terdapat masyarakat kita yang tidak mendapat maklumat lokasi-lokasi penganjuran program Jualan Rahmah di daerah masing-masing.

"Atas sebab itu bermula tahun ini dan secara agresif kita laksanakan bagi bulan Mac ini, adalah penjadualan program itu dimaklumkan lebih awal kepada masyarakat," katanya kepada pemberita di Angkasapuri Kota Media di sini.

Penjadualan awal dibuat agar orang ramai boleh membuat perancangan awal sekiranya ingin menghadiri PJR di kawasan sekitar mereka.

Pihaknya juga menyasarkan dua PJR diadakan dalam tempoh sebulan manakala untuk DUN pula diadakan sekali dalam tempoh dua bulan.

PJR merupakan satu pendekatan bagi menangani isu kos sara hidup rakyat selain memberikan ruang kepada golongan yang memerlukan untuk mendapat akses kepada barangan yang lebih murah daripada harga pasaran iaitu pada kadar 10 hingga 30 peratus.

Program yang dilancar tahun lalu berjaya mengadakan sebanyak 6,870 siri PJR di seluruh negara melibatkan tiga komponen iaitu PJR dalam premis, PJR luar premis dan PJR bergerak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI