fb fb fb fb fb

PJR di Sabah, Sarawak dan Labuan ditambah, November dan Disember ini

Foto FB Menteri

BEAUFORT, 5 November- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menambah jumlah pelaksanaan Program Jualan Rahmah (PJR) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi bulan November dan Disember 2023.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pendekatan itu adalah satu strategi intervensi untuk membolehkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mendapat akses kepada bekalan ayam dengan harga berpatutan.

Tambahnya, usaha tersebut akan ditumpukan pada kawasan yang mempunyai isu penjualan harga ayam yang tinggi di pasaran selain menangani sebarang isu berbangkit berkaitan kadar harga ayam.

Susulan pengumuman penamatan langkah sementara penetapan harga kawalan bagi ayam sejak 1 November 2023, KPDN akan sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengelak kenaikan harga ayam yang tidak munasabah. 

"Apabila ada aduan yang dilaporkan bahawa di kawasan tertentu harga ayam itu terlalu tinggi, maka pegawai penguat kuasa kita akan datang semak.

Berapa harga, di peringkat peruncit, pemborong dan juga pengeluar. Kalau kita dapati ada unsur-unsur pencatutan dinaikkan terlalu tinggi... setelah ditolak dengan kos operasi, kos pengeluaran dan sebagainya, maka kita akan ambil tindakan," kata Armizan kepada pemberita ketika menghadiri Program Jualan Rahmah di Perkarangan Masjid Jamik, Kampung Kebatu Kebidang, di sini.

Selain itu, penawaran bekalan ayam akan ditambah dalam setiap PJR dengan harga rahmah pada kadar diskaun antara 10% hingga 30%.

Setakat 4 November 2023, KPDN telah melaksanakan pemantauan harian di pelbagai premis di seluruh negara. 

Di Sabah, hasil pemantauan mendapati harga ayam super di pasaran adalah di antara RM11.49 per kilogram hingga RM13.90 per kilogram manakala di pasaran Sarawak, di antara RM8.90 sen per kilogram hingga RM18.90 per kilogram.

Sementara itu, harga ayam super di pasaran Labuan adalah di antara RM9.00 hingga RM13.90 per kilogram. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM