JOHOR BAHRU, 16 September – Kompleks Integrasi Petroleum Pengerang (PIPC) di Kota Tinggi berpotensi untuk menjadi hab penapisan gas petroleum terbesar di rantau ini.
Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, bagi merealisasikan hab tersebut semestinya memerlukan perancangan komprehensif yang melibatkan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Lee berkata tumpuan harus diberikan kepada isu-isu seperti tanah, utiliti, tenaga air, dan pembangunan bakat tempatan.
"…Kita juga perlu perancangan awal untuk infrastruktur asas disediakan di peringkat permulaan. Di Johor, dalam masa 10 tahun daripada tiada, kita berjaya wujudkan satu hab penapisan minyak yang cukup penting di rantau ini dan berkemungkinan mampu menjadi yang terbesar di serantau ini dalam masa terdekat.
"Maka, kita memerlukan satu perancangan yang komprehensif dan kerjasama strategik antara kerajaan persekutuan dan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Pelancaran Program Sunbeam Splash 2.0, di sini, hari ini.
Beliau juga menyambut baik kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, yang mencadangkan kerajaan persekutuan mempertimbangkan Bintulu sebagai hab industri gas, seperti di Johor.