fb fb fb fb fb

Pindaan AUKU, satu transformasi kepada agenda pemerkasaan mahasiswa

Pindaan Akta AUKU 1971 membuka ruang kepada mahasiswa untuk menguruskan kewangan selain memberi kuasa autonomi penuh kepada MPP dan badan pelajar mengendalikan hal ehwal kewangan / Foto RTM

SINTOK, 19 Mac – Pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 serta penambahbaikan pada Seksyen 15A dilihat langkah tepat bagi mendukung visi Pemerkasaan Mahasiswa yang ingin dicapai oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Majis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi satu kenyataan berkata, pindaan tersebut membuka ruang kepada mahasiswa untuk menguruskan kewangan selain memberi kuasa autonomi penuh kepada MPP dan badan pelajar mengendalikan hal ehwal kewangan mereka sendiri.

Pindaan tersebut turut membenarkan pelajar untuk menjana pendapatan dan mengumpul dana mengikut kreativiti mereka tanpa campur tangan lapisan birokrasi yang tidak berkenaan.

MPP UUM yakin, pindaan-pindaan terhadap AUKU ini akan membawa perubahan positif kepada agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang mampu memberi manfaat kepada mahasiswa seperti peningkatan kualiti pelajar di universiti serta melahirkan generasi mahasiswa yang lebih matang dan berintegriti.

Dewan Rakyat semalam, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan AUKU menerusi undian sebulat suara Ahli Parlimen melibatkan Seksyen 15 dan 16B AUKU dan Seksyen 48(4), Seksyen 48(11), Seksyen 48(12) dan Seksyen 49(2) Jadual Pertama AUKU.

AUKU mempunyai 3 bahagian utama terdiri daripada 44 seksyen dalam akta ibu, 62 seksyen dalam Jadual Pertama sebagai asas kepada perlembagaan universiti dan 9 seksyen dalam Jadual Kedua.

Ketika menggulung RUU pindaan AUKU, Menteri KPT berkata, pindaan penambahbaikan terhadap akta tersebut lebih realistik berbanding tindakan memansuhkan AUKU.

Menerusi pindaan seksyen, AUKU akan terus diperkasa sesuai dengan keperluan semasa mahasiswa dan pihak pentadbiran universiti.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD