KUALA LUMPUR, 18 Mac - Seramai 22 Ahli Parlimen membahaskan Rang Undang-Undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (RUU AUKU) Pindaan 2003 yang dibentangkan bagi bacaan kedua dan ketiga oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir hari ini.
Antaranya, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang bersetuju dengan pindaan tersebut dan Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Idris Ahmad.
"Dalam melihat kepada prinsip semangat dalam pindaan tersebut, walaupun hak dan kebebasan jauh berbeza, dan jauh lebih besar berbanding dengan dahulu, tetapi saya masih melihat akta yang sedia ada atau pindaan yang sedia ada masih meletakkan beberapa syarat-syarat yang boleh ditafsirkan sebagai mahasiswa masih kelihatan sebagai golongan yang kurang matang dan tiada kebolehan dalam soal pengurusan itu masih lagi kekal," kata Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.
Sementara itu, wakil pembangkang, Datuk Idris Ahmad memuji langkah kerajaan memberi kuasa autonomi kepada mahasiswa untuk mengurus aset dan kewangan.
"Ia sebagai satu latihan kepada mahasiswa supaya lebih bertanggungjawab. Ini juga sebagai satu pendidikan kepada mereka untuk menjadi bakal graduan yang mempunyai integriti apabila mereka menjadi pemimpin nanti," katanya kepada Dewan Rakyat.
Hari ini Dewan Rakyat meluluskan RUU Auku pindaan 2023 yang terbaharu pada melalui undian suara.
Ia melibatkan penambahbaikan Pindaan pada Seksyen 15A akta tersebut membenarkan majlis perwakilan pelajar dan badan pelajar memungut wang dan menerima sumbangan, tertakluk pada peraturan dan undang-undang.
Dalam pada itu, Zambry menerusi hantaran Facebook berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil maklum seitap cadangan dan pandangan yang dikemukan Ahli Dewan Rakyat.
"Ini semua akan diperhalusi bagi menambahbaik AUKU dan pendidikan tinggi negara sendiri menjadi lebih baik sama ada kepada mahasiswa, institusi mahupun mana-mana pemegang taruh di bawah KPT," katanya.