KUALA LUMPUR, 4 Februari – Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) akan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat selepas beberapa cadangan penambahbaikan dimuktamadkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pelbagai sesi libat urus telah diadakan dengan pihak berkepentingan sebelum pindaan ini dibawa ke Parlimen.
"Sebanyak 20 sesi mesyuarat jawatankuasa kerja, lima bengkel pembangunan dan penetapan dasar serta enam sesi libat urus telah diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan dan agensi penguatkuasaan," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim, mengenai status terkini pindaan akta tersebut hari ini.
Menurut beliau, beberapa cadangan dasar sedang dipertimbang Jemaah Menteri, termasuk pengubahsuaian proviso di bawah Seksyen 6 Akta 711.
"Ini bagi mengelakkan percanggahan dengan akta lain serta menggalakkan pendedahan kelakuan tidak wajar tanpa sekatan di bawah undang-undang sedia ada," katanya.
Pindaan ini dijangka memperkukuh perlindungan terhadap pemberi maklumat dan memastikan undang-undang yang lebih efektif dalam membanteras salah laku serta ketirisan dalam pentadbiran.