KUALA LUMPUR, 25 November- Cadangan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 November lalu dan dijangka dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat pada Disember depan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pindaan tersebut mengambil kira evolusi teknologi serta peningkatan penggunaan dan kebergantungan terhadap teknologi.
"Pindaan ini bertujuan menangani ancaman siber termasuk penyebaran maklumat palsu melalui platform dalam talian yang menyebabkan kemudaratan kepada pengguna," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, kerajaan turut merancang untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin.
Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi mencadangkan pengenalan seksyen baharu dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan kuasa kepada pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk memelihara dan menzahirkan data daripada penyedia platform media sosial.
Nie Ching menjelaskan bahawa seksyen tersebut akan memberi kuasa kepada pegawai PDRM dan pegawai berkuasa lain untuk mendapatkan data pengguna melalui kaedah yang ditetapkan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil.
"Dengan seksyen baharu ini, jika diluluskan, PDRM boleh meminta penyedia platform untuk mendedahkan data pengguna bagi membantu siasatan," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi mengenai langkah membendung isu penularan akaun palsu.
Dalam perkembangan lain, sebanyak 21,156 kandungan palsu telah diturunkan oleh penyedia platform media sosial dari 2022 hingga 15 November 2024.
Sepanjang tempoh tersebut, 198 kes elemen palsu telah disiasat, dengan lima kes didakwa dan dijatuhkan hukuman oleh Jabatan Peguam Negara.