fb fb fb fb fb

Pindaan Akta 709 tidak pengaruhi usaha wujudkan 'kill switch' penipuan dalam talian

Menteri Digital Gobind Singh Deo

TAIPING, 7 Julai - Pindaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) tidak akan mempengaruhi usaha kerajaan mewujudkan satu akta baharu yang bakal bertindak sebagai ‘kill switch’ kepada aktiviti penipuan dalam domain atau platform dalam talian.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata ini kerana kedua-dua akta berkenaan sama sekali berbeza dari sudut teknikal dan pelaksanaan perundangan.

“Pindaan Akta 709 ini lebih kepada jaminan untuk memastikan data peribadi yang disimpan itu selamat. Sekiranya berlaku insiden kebocoran atau penggodaman, maka di situ kita perlu letak peruntukan undang-undang yang memerlukan secara mandatori untuk pihak berkepentingan memberikan notis tentang perkara itu.

“Manakala akta baharu yang ingin diwujudkan lebih terarah kepada membasmi penipuan dalam talian yang berlaku terhadap mana-mana individu. Jadi, kita dapat lihat ia berbeza dari sudut perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam sempena sambutan 150 tahun Bandar Warisan Taiping anjuran Pertubuhan Sri Guru Singh Sabha di sini malam ini.

Khamis lepas, Gobind dalam kenyataan berkata Kabinet meluluskan cadangan pindaan Akta 709 yang dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat kali ini bagi memastikan perundangan perlindungan data peribadi di Malaysia selaras dengan piawaian, perubahan serta perkembangan undang-undang global.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dilapor berkata kerajaan sedang merangka akta baharu merangkumi peruntukan berhubung dengan tatacara dan penguatkuasaan ‘kill switch’ untuk meningkatkan tahap keselamatan digital.

Dalam pada itu Gobind berkata pelaksanaan Akta 709 akan diselaras dan dikuatkuasakan sepenuhnya oleh Kementerian Digital manakala akta yang bakal diwujudkan pula merentasi kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Dalam Negeri.

Pindaan Akta 709 katanya bukan sahaja memberikan kemudahan malah ia dilihat berpotensi untuk meningkatkan taraf perniagaan serta kehidupan seharian rakyat. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF